Saturday, August 31, 2019

Peta laluan ke Pulau Gandang, Serusup, Tuaran | Lokasi memancing

Pulau Gandang adalah salah satu lokasi memancing yang cukup terkenal di Serusup, Tuaran, Sabah. Ia digelar pulau kerana ia dipisahkan dari daratan oleh sebatang sungai yang dipanggil Sungai Papat. Sungai tersebut mengelilingi Pulau Gandang dari bahagian muara, memisahkan resort yang dulunya dikenali sebagai Mimpian Jadi Resort, dan keluar semula ke Sungai Serusup di bahagian Sulaman Lake Mangrove Forest. Di situ akan ada sebuah jambatan kayu yang cukup kukuh membolehkan anda menyeberang sungai tersebut dengan kenderaan. Kawasan ini adalah kawasan umum dan sering menjadi tumpuan untuk aktiviti memancing, berkelah, atau santai untuk menenangkan fikiran.

Berikut ialah peta laluan ke Pulau Gandang, Serusup Tuaran. Anda boleh ikut laluan merah, jalan kampung yang berturap, tetapi anda boleh juga ikut laluan biru muda (laluan alternatif).

Ikut laluan MERAH ke Pulau Gandang. Laluan BIRU MUDA adalah laluan alternatif; pengunjung biasanya menggunakan laluan MERAH sahaja.

Laluan utama menuju ke Pulau Gandang, Serusup, Tuaran dari Jambatan Gayang @ Jambatan Mengkabong dan Bulatan Berungis.



Untuk makluman anda yang belum pernah ke situ, laluan agak sempit di beberapa kawasan khususnya apabila bertemu dengan kenderaan dari arah yang bertentangan. Oleh itu, berhati-hati semasa memandu di kawasan ini. Laluan adalah jalan berturap 2-hala hinggalah ke Pulau Gandang.

Pulau Gandang dipanggil pulau kerana mengikut definisi, pulau ialah sebuah kawasan darat yang dikelilingi oleh air. Jika dilihat melalui gambaran Google Earth, ternyata Pulau Gandang dikelilingi air (seperti yang saya lakarkan dengan poligon putih Pulau Gandang). Pantai di situ pula dikenali juga sebagai Pantai Ragat.

Tips memancing untuk pertandingan di Pulau Gandang:
  • Terdapat banyak pokok dan tumbuhan renek di kawasan tersebut. Oleh itu, anda kena berhati-hati apabila melontar pancing anda.
  • Ikan: Antara ikan yang pernah dinaikkan di kawasan ini ialah mangrove jack (MJ) @ mengeket, mayong, putih, ikan sebelah, sembilang, titir, bulan, pisang-pisang, gelama, kerapu, dan utik. Selain itu, anda juga boleh dapat ketam biru, ketam bakau, belangkas, pari, serta sotong di kawasan ini.
  • Perambut yang disyorkan: Perambut apolo atau teknik pancingan dasar yang lain.
  • Rajin-rajinlah periksa umpan pancing anda kerana kawasan ini juga banyak ketam terutamanya pada sebelah siang.
  • Jangan lupa pakai anti-uv protection @ sun-block sekiranya bertandang ke sini pada waktu siang.

Tuesday, August 12, 2014

Panduan Jalan Ke Bukit Perahu, Tamparuli

*Updated 18/08/2019

Kepada sesiapa yang datang dari luar kawasan Tamparuli dan ingin mendaki Bukit Perahu, boleh la mengikuti panduan arah ini. Ada dua jalan utama untuk sampai ke pekan Tamparuli iaitu Jalan Ranau - Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu - Tamparuli; Jalan lama Kota Belud - Tamparuli sudah jarang digunakan namun masih boleh dilalui bagi mereka yang familiar dengan jalan tersebut.

Bagi yang datang melalui Jalan Ranau atau Jalan (lama) Kota Belud, sesampainya di Bulatan Nenas @ Simpang Empat, ikut simpang yang menuju ke pekan Tamparuli. (Skip ke panduan #5).

Bagi yang datang melalui Jalan Kota Kinabalu - Tamparuli;
1. Anda akan sampai ke Bulatan Berungis (tidak jauh selepas melalui Hospital Berungis). Belok KANAN iaitu jalan ke Tamparuli/Ranau/Sandakan/etc. Kalau jalan terus tu ke Tuaran/Tenghilan/Kota Belud/etc.

2. Jalan terus. Anda akan melalui Nursery menjual bunga di sebelah kiri jalan, manakala Chanteek Borneo Gallery, Kg. Lakang betul-betul di seberang jalan raya. Jalan terus dan anda akan melalui Rumah Terbalik, Tamparuli.


3. Jalan terus sampai jumpa Bulatan Tamparuli. Boleh jalan terus atau ikut KANAN.



4. Ikut saja jalan tu, akan lalu SJK(C) St. Phillip (M) di sebelah kanan, dan akhir sekali Kampus SASS/SMAT/SRAT/PMC dan simpang ke Kiulu (di sebelah kanan jalan). Of course, teruskan melalui Jambatan Tamparuli ke pekan Tamparuli.


5. Sesampainya di pekan, akan nampak Stesen Minyak Petron betul-betul berhadapan Balai Polis Tamparuli. Manakala di seberang jalan lagi ada Pasar Mini Speedmart 99.

6. Masuk simpang antara Pasar Mini Speedmart 99 dan Balai Polis Tamparuli dan jalan terus. Anda akan melalui Dewan Belia Tamparuli dengan gelanggang bola keranjang (di sebelah kiri jalan) dan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli (di sebelah kanan jalan).


7. Teruskan perjalanan hingga ternampak signboard 'Laluan Jalan Salip Ke Puncak St. Veronica' (di sebelah kiri jalan). Pandai-pandai lah mencari tempat untuk pusing balik dengan selamat.


8. Anda boleh parking di sepanjang tepi jalan (pastikan bahagian kenderaan tidak terlebih ke jalan raya), parking dekat simpang Loji Penapis Air, atau parking di perkarangan Dewan Serbaguna dengan caj RM1.00.


Anda telah sampai di kaki Bukit Perahu. Selamat datang dan selamat mendaki Bukit Perahu, Tamparuli.